Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Perkahwinan

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, January 30, 2011

Nikah Bawah Umur, antara kehendak & Undang-undang

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama disaran mengikuti perkembangan kehidupan pasangan yang bernikah bawah umur dan mengumpul data bagi mengkaji implikasi berkahwin pada usia muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata saranan itu bertujuan menjadi rujukan sebagai garis panduan kepada mahkamah menangani isu berkenaan.

“Isu nikah bawah umur ini bukan berlaku di sini sebaliknya di seluruh dunia. Kita melihat kes ini dalam konteks undang-undang di Malaysia. Perlu ditegaskan pasangan bawah umur dinikahkan bukan kerana kehendak ibu bapa semata-mata sebaliknya dengan kebenaran mahkamah.

“Pelbagai faktor diambil kira hakim seperti melihat kemungkinan wujudnya pertelingkahan antara pengantin terutama perempuan dengan keluarga, fizikal bagi memastikan pengantin perempuan boleh bersalin dan kemampuan suami memberi nafkah,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Undang-Undang Keluarga Islam ‘Nikah Bawah Umur: Patut Atau Tidak’ di Hotel Putra KL semalam.

Turut hadir pada majlis anjuran Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ialah Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, Tan Sri Ibrahim Lembut dan Presiden PPSM, Dr Mohd Naim Mokhtar.


Beliau berkata, program seumpama ini boleh menonjolkan pendirian negara berhubung isu itu berlandaskan syariah dan undang-undang.


 “Semua resolusi yang diperoleh sepanjang  seminar ini diadakan boleh dijadikan rujukan bagi kes akan datang.   Saya juga suka mengesyorkan supaya peraturan sedia ada diperdalamkan bagi mengeluarkan garis panduan untuk kes  seumpama itu,” katanya.

Komen Sinar Wijdani :

Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah  Persekutuan) 1984  dalam Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan menyebut :

"Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu".

Perkahwinan di bawah umur ini boleh dilangsungkan jika perkahwinan tersebut telah diberi kebenaran secara bertulis kepada pemohon itu setelah siasatan dan keterangan serta latar belakang pemohon tersebut diambil kira. Pasangan yang dikategorikan bawah umur ini tidak perlu takut dan bimbang untuk berkahwin jika mereka tidak cukup seperti yang tercatat dalam Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam sehingga mereka membuat keputusan terburu-buru untuk berkahwin di luar negara atau sempadan negara Malaysia tanpa melalui tatacara yang sah, kerana perkara tersebut akan merumitkan lagi keadaan mereka tatkala mereka pulang ke Malaysia nanti.

Berkahwin bawah umur ini sebenarnya terdapat pelbagai sebab sama ada sebab biasa atau lebih parah lagi sebab atau keadaan yang mendesak. Ada baik dan ada buruknya, namun setiap ibu bapa haruslah menjadi pembimbing yang bijak dalam menyelesaikan isu sebegini. Bertanyalah kepada mereka yang lebih faqih soal perkahwinan Islam dan faham tentang selok belok undang-undang di negara kita supaya jalan yang kita lalui tidak tergelincir dari landasan yang sebenar.

Bertindaklah Mengikut Maslahah Umum Bukan Kehendak Hati Sendiri :)

Jom Kenal Undang-undang Islam

Salam semua buat para pembaca yang budiman :). 

Alhamdulillah sejak sekian lama menyepi, hari ini ingin saya berkongsi dengan para pengunjung beberapa Istilah Undang-undang yang digunapakai dalam pentadbiran kehakiman syariah di Malaysia. Mudah-mudahan ianya dapat memberi info dan pengetahuan asas kepada kita semua insyAllah :). Antara istilah-istilah tersebut :

1. Plaintif : Seorang yang telah mengambil suatu tindakan undang-undang ke atas suatu pihak yang lain (defendan).

2. Defendan : Seorang yang diambil suatu tindakan undang-undang, maklumat ke atasnya : juga seorang yang dipertuduh dengan suatu kesalahan.
Selalunya di Mahkamah Syariah, pihak-pihak yang berurusan di sana membuat tuntutan yang berkaitan dengan hal ehwal rumahtangga. Seperti : Tuntutan Cerai, jika si suami atau isteri yang ingin memulakan apa-apa tindakan terhadap pasangannya di Mahkamah Syariah maka orang itu dipanggil sebagai Plaintif, manakala pasangannya sama ada si isteri atau suami disebut sebagai Defendan.

3. Saman : Suatu dokumen yang dikeluarkan dari Mahkamah Syariah yang mengarahkan orang yang namanya disebut di dalamnya supaya menghadirkan diri di hadapan hakim syarie atau pegawai mahkamah. 



Mahkamah Syariah selaku badan atau agensi yang diamanahkan oleh Allah atau Raja Pemerintah bagi melaksanakan tugas-tugas kehakiman syariah bagi pihaknya, maka panggilan atau saman itu menjadi kewajipan kepada pihak-pihak yang menerimanya untuk hadir bagi membantu melicinkan urusan pentadbiran syariah.

Ok, sehingga disini dulu. InsyAllah pada entry akan datang akan bersua kembali :) 

"Menegakkan Yang Hak Suatu Kewajipan Bersama"