Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Perkahwinan

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Showing posts with label Diari Kes Syariah. Show all posts
Showing posts with label Diari Kes Syariah. Show all posts

Sunday, January 30, 2011

Nikah Bawah Umur, antara kehendak & Undang-undang

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama disaran mengikuti perkembangan kehidupan pasangan yang bernikah bawah umur dan mengumpul data bagi mengkaji implikasi berkahwin pada usia muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata saranan itu bertujuan menjadi rujukan sebagai garis panduan kepada mahkamah menangani isu berkenaan.

“Isu nikah bawah umur ini bukan berlaku di sini sebaliknya di seluruh dunia. Kita melihat kes ini dalam konteks undang-undang di Malaysia. Perlu ditegaskan pasangan bawah umur dinikahkan bukan kerana kehendak ibu bapa semata-mata sebaliknya dengan kebenaran mahkamah.

“Pelbagai faktor diambil kira hakim seperti melihat kemungkinan wujudnya pertelingkahan antara pengantin terutama perempuan dengan keluarga, fizikal bagi memastikan pengantin perempuan boleh bersalin dan kemampuan suami memberi nafkah,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Undang-Undang Keluarga Islam ‘Nikah Bawah Umur: Patut Atau Tidak’ di Hotel Putra KL semalam.

Turut hadir pada majlis anjuran Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ialah Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, Tan Sri Ibrahim Lembut dan Presiden PPSM, Dr Mohd Naim Mokhtar.


Beliau berkata, program seumpama ini boleh menonjolkan pendirian negara berhubung isu itu berlandaskan syariah dan undang-undang.


 “Semua resolusi yang diperoleh sepanjang  seminar ini diadakan boleh dijadikan rujukan bagi kes akan datang.   Saya juga suka mengesyorkan supaya peraturan sedia ada diperdalamkan bagi mengeluarkan garis panduan untuk kes  seumpama itu,” katanya.

Komen Sinar Wijdani :

Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah  Persekutuan) 1984  dalam Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan menyebut :

"Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu".

Perkahwinan di bawah umur ini boleh dilangsungkan jika perkahwinan tersebut telah diberi kebenaran secara bertulis kepada pemohon itu setelah siasatan dan keterangan serta latar belakang pemohon tersebut diambil kira. Pasangan yang dikategorikan bawah umur ini tidak perlu takut dan bimbang untuk berkahwin jika mereka tidak cukup seperti yang tercatat dalam Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam sehingga mereka membuat keputusan terburu-buru untuk berkahwin di luar negara atau sempadan negara Malaysia tanpa melalui tatacara yang sah, kerana perkara tersebut akan merumitkan lagi keadaan mereka tatkala mereka pulang ke Malaysia nanti.

Berkahwin bawah umur ini sebenarnya terdapat pelbagai sebab sama ada sebab biasa atau lebih parah lagi sebab atau keadaan yang mendesak. Ada baik dan ada buruknya, namun setiap ibu bapa haruslah menjadi pembimbing yang bijak dalam menyelesaikan isu sebegini. Bertanyalah kepada mereka yang lebih faqih soal perkahwinan Islam dan faham tentang selok belok undang-undang di negara kita supaya jalan yang kita lalui tidak tergelincir dari landasan yang sebenar.

Bertindaklah Mengikut Maslahah Umum Bukan Kehendak Hati Sendiri :)

Jom Kenal Undang-undang Islam

Salam semua buat para pembaca yang budiman :). 

Alhamdulillah sejak sekian lama menyepi, hari ini ingin saya berkongsi dengan para pengunjung beberapa Istilah Undang-undang yang digunapakai dalam pentadbiran kehakiman syariah di Malaysia. Mudah-mudahan ianya dapat memberi info dan pengetahuan asas kepada kita semua insyAllah :). Antara istilah-istilah tersebut :

1. Plaintif : Seorang yang telah mengambil suatu tindakan undang-undang ke atas suatu pihak yang lain (defendan).

2. Defendan : Seorang yang diambil suatu tindakan undang-undang, maklumat ke atasnya : juga seorang yang dipertuduh dengan suatu kesalahan.
Selalunya di Mahkamah Syariah, pihak-pihak yang berurusan di sana membuat tuntutan yang berkaitan dengan hal ehwal rumahtangga. Seperti : Tuntutan Cerai, jika si suami atau isteri yang ingin memulakan apa-apa tindakan terhadap pasangannya di Mahkamah Syariah maka orang itu dipanggil sebagai Plaintif, manakala pasangannya sama ada si isteri atau suami disebut sebagai Defendan.

3. Saman : Suatu dokumen yang dikeluarkan dari Mahkamah Syariah yang mengarahkan orang yang namanya disebut di dalamnya supaya menghadirkan diri di hadapan hakim syarie atau pegawai mahkamah. 



Mahkamah Syariah selaku badan atau agensi yang diamanahkan oleh Allah atau Raja Pemerintah bagi melaksanakan tugas-tugas kehakiman syariah bagi pihaknya, maka panggilan atau saman itu menjadi kewajipan kepada pihak-pihak yang menerimanya untuk hadir bagi membantu melicinkan urusan pentadbiran syariah.

Ok, sehingga disini dulu. InsyAllah pada entry akan datang akan bersua kembali :) 

"Menegakkan Yang Hak Suatu Kewajipan Bersama"

Friday, August 13, 2010

BSK Transit bantu golongan susah selesai kes di Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR, 03 OGOS 2010 – Y.B Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah merasmikan penubuhan BSK Transit iaitu satu kemudahan baru yang disediakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menerusi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

BSK Transit merupakan bantuan perkhidmatan penginapan sementara yang disediakan kepada pihak-pihak khususnya wanita yang menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah. Keutamaan diberikan kepada pihak-pihak yang tinggal berjauhan daripada mahkamah dan yang tidak berkemampuan.

Di majlis tersebut, Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom menyatakan bahawa antara objektif BSK Transit ialah bagi memudahkan pihak-pihak membuat persiapan sebelum perbicaraan di mahkamah, memberikan keselesaan, memudahkan pihak-pihak hadir awal dan melicinkan prosiding mahkamah.

“Adalah diharapkan dengan kewujudan BSK Transit akan mampu mengelakkan kes-kes tertangguh di Mahkamah Syariah disebabkan ketidakhadiran pihak-pihak akibat kos dan jarak perjalanan dari tempat tinggal mereka ke mahkamah,” kata beliau.

Ketua Pengarah JKSM merangkap Ketua Hakim Syarie Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut ketika ditanya mengenai penubuhan BSK Transit menegaskan bahawa, “Jika sebelum ini JKSM proaktif menyalurkan dana BSK kepada wanita dan anak-anak disebabkan kegagalan bekas suami mematuhi perintah Mahkamah, maka JKSM sekali lagi mengambil inisiatif membantu pihak-pihak khususnya wanita dengan menyediakan perkhidmatan BSK Transit.”

“Dengan adanya kemudahan penginapan tersebut, sedikit sebanyak dapat melindungi keselamatan khususnya ibu-ibu tunggal yang terpaksa hadir ke mahkamah tanpa ditemani oleh sesiapa untuk memastikan hak mereka  terbela dan ditegakkan,” tambah beliau lagi.

Bagi tujuan perkhidmatan BSK Transit tersebut, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menyumbangkan RM100,000.00 kepada Bahagian Sokongan Keluarga, sementara Bahagian Pengurusan Hartanah telah bermurah hati menyumbangkan 2 unit apartment di Presint 9 Putrajaya. Selain itu, kerjasama turut dijalinkan bersama Tunes Hotel di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching,Sarawak, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelum itu, pada majlis yang sama, satu sesi dialog diadakan di antara Pengerusi Jawatankuasa Kerja BSK, Datuk Kamilia Ibrahim dan Timbalan  Pengarah BSK, Dr. Mohd. Na’im bin Mokhtar bersama 250 orang para peserta yang terdiri daripada wakil Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan penerima dana BSK.
BSK Transit yang ditubuhkan oleh JKSM ini adalah salah satu usaha kecil ke arah merealisasikan matlamat yang lebih besar. Kehadiran BSK Transit di tengah-tengah masyarakat yang berstatuskan ibu tunggal yang susah merupakan anugerah yang tidak bermakna buat diri mereka tatkala kesempitan hidup yang dialami untuk mendapatkan hak-hak lain dari Mahkamah Syariah. Berita ini mungkin biasa kepada golongan yang agak berwang ringgit dan dolar dan juga kepada golongan yang sederhana akan tetapi perkara cukup bermakna buat mereka yang susah dalam meniti hari-hari untuk terus hidup. 
Semoga dengan kehadiran BSK Transit ini dapat memudahkan masyarakat khususnya golongan yang susah dan diharapkan jua agar usaha murni ini terus disokong dan didokong oleh segenap lapisan masyarakat dan bangsa yang cintakan keadilan dan keamanan. Sebar-sebarkanlah maklumat yang diperolehi ini demi memantapkan institusi sosial masyarakat atas dasar ukhuwwah Islamiyah. 

InsyAllah, lepas ni jangan ada yang kata 'mereka ibarat bola' bila berurusan di Mahkamah Syariah

Selamat menyambut kepulangan Ramadhan al-Mubarak. Posting minggu ini mengenai Majlis Pelancaran Panduan Carta Aliran Proses Nikah, cerai & Ruju'. Alhamdulillah berkat doa' semua sahabat2 seperjuangan dan gerak kerja penyelidikan yang penuh berdedikasi oleh kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) maka lahirlah salah satu harapan yang diimpikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk masyarakat Islam yang saban tahun mengkritik dan melemparkan komentar yang berbisa terhadap institusi agama Islam khasnya Mahkamah Syariah dalam mengendalikan isu-isu berhubung hal ehwal kekeluargaan di Malaysia. Semoga dengan lahirnya buku panduan seumpama ini akan menjadi urusan rakyat khasnya yang beragama Islam menjadi mudah dan lebih tahu kaunter mana yang hendak mereka tuju tatkala menimpa masalah kekeluargaan. Sekiranya ada sebarang kekurangan mohon diberi cadangan yang membina dalam mengemaskini buku panduan tersebut. Dalam posting kali ini saya ingin melampirkan beberapa keratan akhbar berhubung Pelancaran Buku tersebut untuk rujukan dan panduan sahabat-sahabat semua.
 
HARIAN METRO

Urus nikah, cerai

Oleh Hayati Ibrahim

2010/08/12
   
PUTRAJAYA: Masyarakat Islam yang berdepan masalah berkaitan proses pernikahan, cerai dan rujuk boleh menjadikan Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk sebagai panduan bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar dan cepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buku itu boleh dijadikan panduan bagi membolehkan mereka lebih memahami prosedur berkaitan nikah, cerai dan rujuk. Beliau berkata, pihaknya mendapati kebanyakan orang ramai terutama ibu tunggal menghadapi masalah berurusan dengan mahkamah syariah atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana keliru atau tidak faham dengan proses yang perlu dilakukan.
“Justeru, dengan penerbitan buku ini, mereka boleh mendapatkan maklumat lengkap bagi memastikan urusan terbabit dapat dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan, sekali gus menjimatkan masa, wang dan tenaga,” katanya ketika melancarkan Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk di Istana Kehakiman, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Ibrahim Lembut dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir berkata, buku itu bakal ditempatkan di Jawi, JKSM, masjid dan tempat awam yang bersesuaian sebagai rujukan kepada orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan tiga perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, buku panduan itu hanya boleh diguna pakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, tetapi kami akan hantar naskah ini kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk dijadikan contoh.

“Jadi, mereka mungkin boleh mengeluarkan buku panduan seumpama itu untuk panduan masyarakat Islam di negeri masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, buku berkenaan mempunyai carta aliran lengkap yang menerangkan proses yang perlu dilalui seseorang yang mempunyai urusan dengan Jawi dan mahkamah syariah di seluruh negara.

Carta aliran yang disediakan termasuk kebenaran berkahwin, poligami di dalam dan luar Wilayah Persekutuan, wali hakim, wali enggan, pendaftaran pernikahan luar negara, pendaftaran perkahwinan poligami tanpa kebenaran, kad nikah, perkhidmatan runding cara keluarga, pendaftaran cerai, pendaftaran rujuk, cerai (secara talak dengan persetujuan bersama), cerai (tanpa persetujuan bersama) dan kes perceraian secara taklik atau fasakh.

Lebih menarik, Jamil Khir berkata, buku itu turut menyatakan tempoh yang diperlukan ketika berurusan di Jawi atau mahkamah, sekali gus membolehkan mereka merancang dan menguruskan masa dengan baik.

“Malah, ia turut menyatakan dengan jelas mengenai dokumen yang perlu dibawa seseorang jika ingin membuat sebarang permohonan berkaitan nikah, cerai dan rujuk, dengan itu mereka boleh menyediakan dokumen berkenaan terlebih dulu sebelum berurusan dengan Jawi atau mana-mana mahkamah syariah untuk mendaftar sesuatu permohonan.

“Ini akan mengelakkan orang ramai berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi, selain menjimatkan masa tanpa perlu berulang-alik ke Jawi atau mahkamah syariah,” katanya.

KOSMO

Buku panduan nikah bantu isu rumah tangga


JAMIL KHIR menunjukkan buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA - Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk dapat membuka jalan penyelesaian bagi masalah pernikahan khususnya kepada golongan wanita. Ia dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kehakiman Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buku panduan itu mengandungi segala aliran proses yang diperlukan untuk semua kategori permasalahan.

Kata beliau, buku itu akan menjadi panduan yang sangat bermanfaat, sekali gus berupaya memainkan peranan sebagai rujukan untuk negeri-negeri lain di Malaysia.

"Lazimnya apabila proses perceraian berlaku, masalah sering berlaku kepada wanita, khususnya yang telah menjadi ibu tunggal hingga kadangkala, ia boleh mendatangkan aib kepada mereka.

"Dengan buku panduan ini, ia akan membantu orang ramai yang berdepan dengan masalah seumpamanya memperoleh jalan penyelesaian yang lebih jelas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku itu di sini semalam.

UTUSAN MALAYSIA

Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk dilancar

PUTRAJAYA 11 Ogos - Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk yang dilancarkan hari ini boleh membantu memudahkan pasangan Islam mendapatkan panduan sebelum berurusan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buku panduan mengandungi 14 proses permohonan itu disertakan carta aliran yang membolehkan orang ramai memahami proses kerja di institusi agama.

Sebagai permulaan, sebanyak 10,000 naskhah akan diedarkan secara percuma di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

''Buku ini juga dapat memudahkan Jawi dan JKSM menyelaraskan kerja di antara Jabatan Agama Islam dan Mahkamah Syariah negeri-negeri serta membantu mendaulatkan sistem perundangan negara.

''Bidang kuasa syariah tidak wajar dilihat sebagai batu penghalang terhadap usaha-usaha memantapkan pengurusan dan pembangunan institusi agama Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Panduan Nikah, Cerai dan Rujuk terbitan Jawi dan JKSM.

Sebagai contoh, kata beliau, bagi pasangan yang ingin bercerai atau menuntut nafkah mereka mesti menyediakan segala dokumen yang diperlukan seperti terkandung dalam buku panduan tersebut sebelum ke Mahkamah Syariah.

Jamil Khir menambah, kebanyakan pasangan menyalahkan Mahkamah Syariah jika berlaku kelewatan kes tetapi hakikatnya mereka sendiri tidak memahami prosedur sebenar yang diperlukan.
Justeru, katanya, orang ramai dapat mengelak berhadapan dengan pelbagai kerenah birokrasi dan menjimatkan masa tanpa perlu berulang-alik dari rumah ke mahkamah semata-mata disebabkan oleh dokumen tidak lengkap.

Wednesday, June 16, 2010

Ala Omak kahwinkan aku cepat

Putrajaya : musim cuti sekolah ni macam biasala jenuh dok mengatur kenduri kendara di kampung sama ada kenduri saudara mara atau pun kawan-kawan lama. Riuh rendah dibuatnya....masa cuti sekolah ini jugak la orang nak kawin la, nak bersunat (berkhatan) la nak itu la nak ini laa macam-macam, lebih sakan dari macam-macam Astro hehehe, tapi aku bila lagi? ok, untuk entri kali ini saya nak kongsikan bersama sahabat-sahabat yang mngunjungi bolg ini mengenai Ole-ole Perkahwinan siri-2 yang akan memaparkan " umur minima untuk berkahwin " mengikut syara' disamping undang-undang keluarga Islam di Malaysia..bukan apa takut-takut terlajak, terlajak perahu boleh diundur lagi, tapi kalau terlajak tindakan tanpa mengikut undang-undang haruihh la duit yang dihimpun untuk membeli perkakasan asas masuk rumah dah kena bayaq denda kepada Mahkamah Syariah, eeeemmm baru tauu !

Islam tidak memperuntukkan had umur minima untuk berkahwin sama ada kepada pengantin lelaki atau perempuan (merpati sejoli), walau bagaimanapun terdapat ayat al-Quran yang menyebut tentang umur yang lebih munasabah untuk berkahwin sebagai panduan :

وَٱبۡتَلُواْ ٱلۡيَتَـٰمَىٰ حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغُواْ ٱلنِّكَاحَ فَإِنۡ ءَانَسۡتُم مِّنۡہُمۡ رُشۡدً۬ا فَٱدۡفَعُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ أَمۡوَٲلَهُمۡ‌ۖ

 Surah an-Nisa' ayat 6 ini memberi mafhum yang jelas dalam memutuskan kelayakan pengantin lelaki dan perempuan untuk berkahwin mestilah cukup umur ataupun baliaqq.

Dari segi peruntukan undang-undang Keluarga Islam jelas menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan itu tidak boleh diakadkan jika bakal pengantin itu berumur kurang dari 18 tahun (lelaki) dan 16 tahun (perempuan) kecuali Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis.

Senang ceghita tak payah susah-susah, nak kawin mesti umoq depa kira baliaqq laa kurang daripada tu tak boleh kecuali kena minta izin kat depan tok Hakim di Mahkamah jangan di rumah pulakkk tu pun kalau tak sabaq sangat dah laa :)

- ambil borang kawin di Jabatan/Pejabat Agama Islam (tempat mastautin   bakal pengantin)
- isi borang
- dapatkan pengesahan anak qaryah dari pen.pendaftar Nikah di kampung
- kepilkan maklumat penting yang dikehendaki seperti di dalam borang
- serah balik kat Pejabat Agama
Baru kawinnnnn.........................automatik perkahwinan kita telah didaftarkan di Pejabat Agama.

Kalau Kawin Jugak, apa cenghita ?

kalau kawin jugak depa, maka perkahwinan mereka sah mengikut syara' tapi tak sah ikut undang-undang.

Bila tak sah ikut undang-undang, nak bagi sah kena mengadap tok Hakim Syarie melalui "Prosedur Permohonan Pengesahan Perkahwinan". Hakim puashati dengan keterangan yang diberikan barulah sah...ceghita dia lece dan ghenyahhh, dok nak kena turun naik Mahkamah apa ceghita..ni la punca kalau tak ikut undang-undang. so, nak mudah kepada semua pihak kita kenalah patuh dan ikut undang-undang di negara kita selagi mana undang-undang itu tidak bercanggah dengan hukum syara'.

Bila Pejabat Agama daftarkan perkhwinan yang telah disahkan oleh Mahkamah tu geng Pendakwa Jabatan Agama pulak failkan pertuduhan kerana melanggar undang-undang iaitu berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah.

Cukup la untuk entri kali ini, insyAllah kita jumpa pulak dengan siri ke-3 pada entri akan datang :)


Saturday, April 3, 2010

Kenyataan Akhbar Presiden PGSM Isu Kartika Sari


KENYATAAN AKHBAR

PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)
TUAN MOHAMAD ISA ABD RALIP

ISU UBAH HUKUMAN SEBATAN SYARIE TERHADAP KARTIKA SARI OLEH SULTAN PAHANG, SULTAN AHMAD SHAH

PGSM dengan ini mengeluarkan kenyataan tentang pendirian PGSM sebagaimana berikut :-

1. Tidak menyokong sepenuhnya tindakan perlaksanaan hukuman khidmat masyarakat ke atas Kartika bagi menggantikan perlaksanaan hukuman sebat. Ini adalah kerana sebagai peguam syarie yang beramal di Mahkamah Syariah kami menyatakan bahawa sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa ekslusif untuk mengurangkan atau meringankan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Kuasa ekslusif ini terbahagi kepada 2 keadaan berikut iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

2. Keadaan pertama : Mengikut enakmen pentadbiran Agama Islam Pahang di bawah seksyen 209, sultan boleh mengurang, menambah atau mengubah hukuman dengan syarat tertuduh kena melalui rayuan terlebih dahulu hingga selesai kes mahkamah rayuan. Dalam kes Kartika ini, dia tidak membuat sebarang rayuan. Keadaan Kedua : Seksyen 133 tatacara jenayah Pahang pula mengatakan sultan atas nasihat mufti berkuasa meringankan hukuman dengan ganti kepada hukuman yang lebih ringan walaupun tak dirayu atau dimohon oleh pesalah dengan menggantikan drpd sebat kepada penjara atau penjara kepada denda. Itu sahaja kuasa sultan dari sudut perundangan, tiada disebutkan ganti kepada khidmat masyarakat. Tambahan ikut jumhur ulama’ kesalahan minum arak adalah termasuk dlm hukuman hudud dan hukumnya adalah disebat sekurang-kurangnya 40 rotan.

3. PGSM berpandangan bahawa hukuman sebatan adalah kesalahan yang berbentuk kesalahan hudud.

4. Penggantian hukuman sebat kepada hukuman khidmat masyarakat menggambarkan seolah-olah Sultan mengatasi undang-undang syariah walaupun sultan mempunyai kuasa esksekutif.

5. PGSM menimbulkan persoalan samada nasihat mufti telah diperolehi terlebih dahulu selari dengan peruntukan Seksyen 133 tatacara jenayah Pahang yang mengatakan sultan atas nasihat mufti berkuasa meringankan hukuman dengan ganti kepada hukuman yang lebih ringan walaupun tak dirayu atau dimohon oleh pesalah dengan menggantikan drpd sebat kepada penjara atau penjara kepada denda.

6. Pengumuman tersebut mengejutkan pengamal undang-undang syarie dan ianya memberi kesan kepada pandangan orang ramai terhadap Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan Islam memandangkan kepada hukuman yang telah dijatuhkan dan perintah yang telah dikeluarkan oleh Hakim sebelum daripada ini serta pendirian Kartika Sari sendiri yang sudah bersedia untuk menjalani hukuman tersebut sebelum ini.

Sekian, untuk siaran.

(MOHAMAD ISA ABD RALIP)
Presiden PGSM

 

 

 

 

 

 

 

Tuesday, March 30, 2010

Ole-ole Perkahwinan

 

Salam,
Setiap manusia yang sihat dan cerdas akal fikirannya senantiasa mengimpikan sebuah keluarga idaman yang cukup bahagian. Semasa study diperingkat menengah atau Universiti sang lelaki dan wanita telah pun menetapkan ciri-ciri bakal suami dan isteri mereka yang ingin menjadi teman sepanjang hidup mereka. Berkahwin ialah salah satu cara yang halaluntuk setiap manusia menyalurkan dan menyemaikan perasaan kasih dan sayang, tanggungjawab dan naluri seks secara sistematik dan diredhai Allah.
Langkah Tercipta
Setelah segala perancangan dan persiapan menghadapi saat-saat bahagian ini dicaturkan kursus persiapan rumahtangga jangan diambil mudah dan enteng, kerana di situlah bermulanya subjek kerumahtanggan dan kebertanggungjawaban itu mula menyulusuri dalam diri pari-pari pengantin itu, begitu juga dengan Borang Permohonan untuk Berkahwin yang perlu di lengkapkan kemudian dipulangkan semula kepada Pejabat atau Jabatan Agama Islam Negeri yang berdekatan setelah mendapat pengesahan anak qaryah Pen.Pendaftar Nikar Cerai dan Rujuk , perkara dan prosedur peting bagi melengkapkan borang tersebut jangan dilupakan dan jangan dibuat mudah, setiap borang yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan kepada Pejabat dan Jabatan Agama 3 bulan sebelum akad nikah dilangsungkan.
Perkara ini mungkin di ambil berat oleh pasangan yang baru ingin mendirikan rumahtangga mereka, berlainan dengan pasangan yang akan ingin Berpoligami. Pasangan ini sering kali diburu nafsu dan sifat sabar mereka itu seolah-olah tiada lagi dalam dairi kehidupan mereka, mana tidaknya Permohonan Kebenaran untuk Berpoligtami baru didaftarkan di Mahkamah Syariah tup-tup dah sibuk mengedarkan kad jemputan kepada kenalan dan membuat apa-apa jua persiapan perkahwinan seakan-akan pihak lelaki terlalu yakin bahawa permohonan mereka itu pasti diluluskan atau dibenarkan oleh Mahkamah Syariah. Apakah yang akan terjadi sekiranya dalam perbicaraan itu dan akhirnya Mahkamah memutuskan bahawa permohonan kebenaran berpoligami itu tidak diluluskan ? bagaimanakah dengan persiapan yang telah dilakukan ? bagaimana dengan kad-kad jemputan yg telah diedarkan ? pakat-pakat datang majlis kesyukuran la jawabnyerrr, inilah risiko besar yang amat memalukan jika si pemohon untuk berpoligami tidak mengikut dan mendengar nasihat dari pihak Mahkamah.
Kahwin di mana-mana pun tak apa aihh
Setiap perkahwinan yang mengikut prosedurnya sama ada perkahwinan yang hendak dilangsungkan itu di dalam Negeri atau luar Negeri sudah tentu telah didaftarkan mengikut undang-undang. Manakala apa perkahwinan yang berlangsung di luar Negeri tanpa mendapat kebenaran dari pihak Jabatan agama atau Mahkamah sudah tentu perkahwinan itu akan mengundang pelbagai masalah begitu juga perkahwinan yang berlangsung di luar Negara yang tidak didaftarkan sudah tentu juga pihak wanita khasnya akan berhadapan dengan masalah yang cukup rumit terutama ketika anak yang dilahirkan hendak didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, kerana pihak Pendaftaran Negara akan menyemak surat kahwin ibu bapa itu.
Demikianlah antara sebab musababnya mengapa prosedur dan undang-undang yg telah diwujudkan oleh pihak berkuasa yg sekali pandang seperti menyusahkan tetapi perkara tersebut diwujukan demi memelihara maslahah umum dan pada masa yg sama menutup pintu-pintu yg boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan Negara.
Benarlah kata-kata para ulama yang telah menetapkan satu kaedah feqh yang berbunyi
تصرُف اللإمام منوط بالمصلحة
Justeru, entri kali ini ingin mengajak serta mengingatkan bahawa jika kalian ada berurusan dengan Mahkamah khasnya Mahkamah Syariah bertanyalah dengan pegawai-pegawai Mahkamah sebelum melakukan apa-apa jua tindakan. Kata orang tua-tua “ biar cermat asalkan selamat ” :)

Wednesday, February 17, 2010

3 wanita telah disebat mengikut kaedah syara'


PUTRAJAYA 17 Feb. – Di sebalik kontroversi hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, sebenarnya tiga wanita Islam telah selamat menjalani hukuman sebatan mengikut kaedah syarak pada 9 Februari lalu.

Hukuman yang pertama kali dilaksanakan ke atas wanita itu membabitkan antara empat hingga enam sebatan.

Selain itu terdapat empat pesalah lelaki turut dikenakan sebatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Hukuman tersebut dilaksanakan di Penjara Kajang, manakala pesalah wanita di Penjara Wanita Kajang. – Utusan