Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Perkahwinan

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Friday, August 13, 2010

BSK Transit bantu golongan susah selesai kes di Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR, 03 OGOS 2010 – Y.B Senator Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah merasmikan penubuhan BSK Transit iaitu satu kemudahan baru yang disediakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menerusi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

BSK Transit merupakan bantuan perkhidmatan penginapan sementara yang disediakan kepada pihak-pihak khususnya wanita yang menghadiri prosiding kes di Mahkamah Syariah. Keutamaan diberikan kepada pihak-pihak yang tinggal berjauhan daripada mahkamah dan yang tidak berkemampuan.

Di majlis tersebut, Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom menyatakan bahawa antara objektif BSK Transit ialah bagi memudahkan pihak-pihak membuat persiapan sebelum perbicaraan di mahkamah, memberikan keselesaan, memudahkan pihak-pihak hadir awal dan melicinkan prosiding mahkamah.

“Adalah diharapkan dengan kewujudan BSK Transit akan mampu mengelakkan kes-kes tertangguh di Mahkamah Syariah disebabkan ketidakhadiran pihak-pihak akibat kos dan jarak perjalanan dari tempat tinggal mereka ke mahkamah,” kata beliau.

Ketua Pengarah JKSM merangkap Ketua Hakim Syarie Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut ketika ditanya mengenai penubuhan BSK Transit menegaskan bahawa, “Jika sebelum ini JKSM proaktif menyalurkan dana BSK kepada wanita dan anak-anak disebabkan kegagalan bekas suami mematuhi perintah Mahkamah, maka JKSM sekali lagi mengambil inisiatif membantu pihak-pihak khususnya wanita dengan menyediakan perkhidmatan BSK Transit.”

“Dengan adanya kemudahan penginapan tersebut, sedikit sebanyak dapat melindungi keselamatan khususnya ibu-ibu tunggal yang terpaksa hadir ke mahkamah tanpa ditemani oleh sesiapa untuk memastikan hak mereka  terbela dan ditegakkan,” tambah beliau lagi.

Bagi tujuan perkhidmatan BSK Transit tersebut, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menyumbangkan RM100,000.00 kepada Bahagian Sokongan Keluarga, sementara Bahagian Pengurusan Hartanah telah bermurah hati menyumbangkan 2 unit apartment di Presint 9 Putrajaya. Selain itu, kerjasama turut dijalinkan bersama Tunes Hotel di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching,Sarawak, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelum itu, pada majlis yang sama, satu sesi dialog diadakan di antara Pengerusi Jawatankuasa Kerja BSK, Datuk Kamilia Ibrahim dan Timbalan  Pengarah BSK, Dr. Mohd. Na’im bin Mokhtar bersama 250 orang para peserta yang terdiri daripada wakil Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan penerima dana BSK.
BSK Transit yang ditubuhkan oleh JKSM ini adalah salah satu usaha kecil ke arah merealisasikan matlamat yang lebih besar. Kehadiran BSK Transit di tengah-tengah masyarakat yang berstatuskan ibu tunggal yang susah merupakan anugerah yang tidak bermakna buat diri mereka tatkala kesempitan hidup yang dialami untuk mendapatkan hak-hak lain dari Mahkamah Syariah. Berita ini mungkin biasa kepada golongan yang agak berwang ringgit dan dolar dan juga kepada golongan yang sederhana akan tetapi perkara cukup bermakna buat mereka yang susah dalam meniti hari-hari untuk terus hidup. 
Semoga dengan kehadiran BSK Transit ini dapat memudahkan masyarakat khususnya golongan yang susah dan diharapkan jua agar usaha murni ini terus disokong dan didokong oleh segenap lapisan masyarakat dan bangsa yang cintakan keadilan dan keamanan. Sebar-sebarkanlah maklumat yang diperolehi ini demi memantapkan institusi sosial masyarakat atas dasar ukhuwwah Islamiyah. 

No comments:

Post a Comment