Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Perkahwinan

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Friday, August 13, 2010

InsyAllah, lepas ni jangan ada yang kata 'mereka ibarat bola' bila berurusan di Mahkamah Syariah

Selamat menyambut kepulangan Ramadhan al-Mubarak. Posting minggu ini mengenai Majlis Pelancaran Panduan Carta Aliran Proses Nikah, cerai & Ruju'. Alhamdulillah berkat doa' semua sahabat2 seperjuangan dan gerak kerja penyelidikan yang penuh berdedikasi oleh kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) maka lahirlah salah satu harapan yang diimpikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk masyarakat Islam yang saban tahun mengkritik dan melemparkan komentar yang berbisa terhadap institusi agama Islam khasnya Mahkamah Syariah dalam mengendalikan isu-isu berhubung hal ehwal kekeluargaan di Malaysia. Semoga dengan lahirnya buku panduan seumpama ini akan menjadi urusan rakyat khasnya yang beragama Islam menjadi mudah dan lebih tahu kaunter mana yang hendak mereka tuju tatkala menimpa masalah kekeluargaan. Sekiranya ada sebarang kekurangan mohon diberi cadangan yang membina dalam mengemaskini buku panduan tersebut. Dalam posting kali ini saya ingin melampirkan beberapa keratan akhbar berhubung Pelancaran Buku tersebut untuk rujukan dan panduan sahabat-sahabat semua.
 
HARIAN METRO

Urus nikah, cerai

Oleh Hayati Ibrahim

2010/08/12
   
PUTRAJAYA: Masyarakat Islam yang berdepan masalah berkaitan proses pernikahan, cerai dan rujuk boleh menjadikan Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk sebagai panduan bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar dan cepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buku itu boleh dijadikan panduan bagi membolehkan mereka lebih memahami prosedur berkaitan nikah, cerai dan rujuk. Beliau berkata, pihaknya mendapati kebanyakan orang ramai terutama ibu tunggal menghadapi masalah berurusan dengan mahkamah syariah atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana keliru atau tidak faham dengan proses yang perlu dilakukan.
“Justeru, dengan penerbitan buku ini, mereka boleh mendapatkan maklumat lengkap bagi memastikan urusan terbabit dapat dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan, sekali gus menjimatkan masa, wang dan tenaga,” katanya ketika melancarkan Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk di Istana Kehakiman, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Ibrahim Lembut dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir berkata, buku itu bakal ditempatkan di Jawi, JKSM, masjid dan tempat awam yang bersesuaian sebagai rujukan kepada orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan tiga perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, buku panduan itu hanya boleh diguna pakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, tetapi kami akan hantar naskah ini kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk dijadikan contoh.

“Jadi, mereka mungkin boleh mengeluarkan buku panduan seumpama itu untuk panduan masyarakat Islam di negeri masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, buku berkenaan mempunyai carta aliran lengkap yang menerangkan proses yang perlu dilalui seseorang yang mempunyai urusan dengan Jawi dan mahkamah syariah di seluruh negara.

Carta aliran yang disediakan termasuk kebenaran berkahwin, poligami di dalam dan luar Wilayah Persekutuan, wali hakim, wali enggan, pendaftaran pernikahan luar negara, pendaftaran perkahwinan poligami tanpa kebenaran, kad nikah, perkhidmatan runding cara keluarga, pendaftaran cerai, pendaftaran rujuk, cerai (secara talak dengan persetujuan bersama), cerai (tanpa persetujuan bersama) dan kes perceraian secara taklik atau fasakh.

Lebih menarik, Jamil Khir berkata, buku itu turut menyatakan tempoh yang diperlukan ketika berurusan di Jawi atau mahkamah, sekali gus membolehkan mereka merancang dan menguruskan masa dengan baik.

“Malah, ia turut menyatakan dengan jelas mengenai dokumen yang perlu dibawa seseorang jika ingin membuat sebarang permohonan berkaitan nikah, cerai dan rujuk, dengan itu mereka boleh menyediakan dokumen berkenaan terlebih dulu sebelum berurusan dengan Jawi atau mana-mana mahkamah syariah untuk mendaftar sesuatu permohonan.

“Ini akan mengelakkan orang ramai berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi, selain menjimatkan masa tanpa perlu berulang-alik ke Jawi atau mahkamah syariah,” katanya.

KOSMO

Buku panduan nikah bantu isu rumah tangga


JAMIL KHIR menunjukkan buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA - Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk dapat membuka jalan penyelesaian bagi masalah pernikahan khususnya kepada golongan wanita. Ia dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kehakiman Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buku panduan itu mengandungi segala aliran proses yang diperlukan untuk semua kategori permasalahan.

Kata beliau, buku itu akan menjadi panduan yang sangat bermanfaat, sekali gus berupaya memainkan peranan sebagai rujukan untuk negeri-negeri lain di Malaysia.

"Lazimnya apabila proses perceraian berlaku, masalah sering berlaku kepada wanita, khususnya yang telah menjadi ibu tunggal hingga kadangkala, ia boleh mendatangkan aib kepada mereka.

"Dengan buku panduan ini, ia akan membantu orang ramai yang berdepan dengan masalah seumpamanya memperoleh jalan penyelesaian yang lebih jelas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku itu di sini semalam.

UTUSAN MALAYSIA

Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk dilancar

PUTRAJAYA 11 Ogos - Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Rujuk yang dilancarkan hari ini boleh membantu memudahkan pasangan Islam mendapatkan panduan sebelum berurusan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buku panduan mengandungi 14 proses permohonan itu disertakan carta aliran yang membolehkan orang ramai memahami proses kerja di institusi agama.

Sebagai permulaan, sebanyak 10,000 naskhah akan diedarkan secara percuma di masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

''Buku ini juga dapat memudahkan Jawi dan JKSM menyelaraskan kerja di antara Jabatan Agama Islam dan Mahkamah Syariah negeri-negeri serta membantu mendaulatkan sistem perundangan negara.

''Bidang kuasa syariah tidak wajar dilihat sebagai batu penghalang terhadap usaha-usaha memantapkan pengurusan dan pembangunan institusi agama Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Panduan Nikah, Cerai dan Rujuk terbitan Jawi dan JKSM.

Sebagai contoh, kata beliau, bagi pasangan yang ingin bercerai atau menuntut nafkah mereka mesti menyediakan segala dokumen yang diperlukan seperti terkandung dalam buku panduan tersebut sebelum ke Mahkamah Syariah.

Jamil Khir menambah, kebanyakan pasangan menyalahkan Mahkamah Syariah jika berlaku kelewatan kes tetapi hakikatnya mereka sendiri tidak memahami prosedur sebenar yang diperlukan.
Justeru, katanya, orang ramai dapat mengelak berhadapan dengan pelbagai kerenah birokrasi dan menjimatkan masa tanpa perlu berulang-alik dari rumah ke mahkamah semata-mata disebabkan oleh dokumen tidak lengkap.

No comments:

Post a Comment